Quantcast
Channel: احفظ الله يحفظك
Viewing all articles
Browse latest Browse all 103

Aku & Abah

$
0
0

Abah , semoga dalam peliharaan Allah


Bercerita tentang Abah, aku jadi teringat-ingat waktu kecil dahulu.

Abah kini dah berusia 52 tahun. Sudah semakin berusia.

Dulu, waktu kami kecil, Abah sangat garang. Tak berani nak bantah kalau Abah bagi arahan.

Nak banding kaklong dengan aku, waktu kecil dulu, akulah yang paling nakal.

Sikap seperti budak lelaki, ala-ala tomboy.

Aku masih ingat, waktu itu , sudah hampir maghrib. Abah menyuruh aku masuk ke dalam rumah, tapi sebab aku masih seronok bermain basikal, aku buat tidak endah dengan arahan abah. Akhirnya, abah mengejar aku dari belakang sambil bawa rotan. Dan aku, semakin laju mengayuh.

Teringat juga waktu aku tidak dapat mengaji dengan baik, akhirnya abah mendenda aku dengan mengurung aku di luar rumah . Padahal, jarum jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Menangislah aku dibuatnya. Mungkin dengan asbab itu, akhirnya aku bisa mengaji dengan baik.

Teringat juga sewaktu aku menanggung kesakitan kerana kelenguhan kaki yang melampau, gara-gara gangguan yang dialami. Peristiwa semasa Tingkatan 3 yang berlaku pada pukul 3 pagi, aku menangis keseorangan di ruang tamu kerana tidak dapat tidur, mujur Abah bangun hendak ke tandas dan ternampak aku menangis kesakitan. Abahlah yang mengurut kaki aku walaupun aku tahu waktu tu abah sangat mengantuk.

Teringat juga, pada awal persekolahan di Tingkatan 3, Abah tidak punya wang yang cukup untuk membayar yuran sekolah aku. Aku dan kaklong hampir menitiskan air mata ketika melihat Abah menadah tangan daripada seorang guru yang anak-anaknya diasuh emak aku , untuk meminjam wang bagi melunaskan pembayaran yuran sekolah. Dan tahun itu jugalah, jika aku tidak silap, duit raya yang aku dapat, digunakan untuk membayar yuran adik-adik di sekolah agama.

Dan, aku ingat sewaktu melangkahkan kaki ke alam kampus bersama kaklong , duit bonus yang Abah dapat untuk tahun itu, langsung tidak Abah sentuh demi melunaskan yuran pengajian anak-anak di universiti.

Pengorbanan Abah dan Emak terlalu besar buat aku dan adik- beradikku. Kami bukan orang senang dan bukan juga orang susah. Cuma, aku boleh katakan , waktu aku kecil sebelum kehadiran dua orang adikku, kami boleh dikatakan agak susah.

Biarlah kalau orang kata aku jakun apabila menjejakkan kaki ke restoran-restoran mewah atau mengajak aku makan di tempat -tempat yang sering aku lihat di TV.

Seingat aku, aku mula merasa KFC ketika aku berada di Tingkatan 2. Pizza Hut ? Boleh bilang dengan jari.
MCD ? Alhamdulillah, tidak pernah jejak kaki . Baskin Robin (Ejaan pun aku tak tau macam mana), langsung tak pernah rasa. Dunkin Donut, Secret Recipe, Big Apple , semuanya aku rasa saat kaki sudah menjejak ke universiti. Burger King ? Alhamdulillah, aku tidak pernah juga merasa.

Biarlah , aku tidak kisah jika tidak dapat merasa semua itu. Cuma, kadang-kadang terbit juga rasa rendah diri saat berhadapan dengan orang-orang yang hidupnya mewah , yang sering berkunjung ke tempat -tempat sebegitu.

Aku berasal dari keluarga yang sangat biasa, tapi aku sangat bahagia dan aku suka dengan kehidupanku. Emak , Abah , Kaklong dan Adik-adik adalah insan yang paling aku sayang . Mereka sudi terima aku apa adanya.



Kini , abah sudah tua. Semakin sensitif. Adikku sering berpesan, sesekali telefonlah abah, jangan asyik telefon emak sahaja. Ya, aku boleh telefon abah, tapi setiap kali aku telefon abah, air mataku sering bergenang. Ah, adakah aku yang terlalu sensitif?


Angah sayang abah. Angah suka bila Angah call Abah akan cakap "Hello, sayang !"

Ah,aku tidak mampu menuturkan lafaz sayang di hadapan kalian, abah dan emak, kerana pasti air mataku akan mengalir.

Biar ia menjadi lafaz yang tersimpan. Kerna sayangku itu kuterjemah melalui tindakan.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 103

Trending Articles